Nama Kelas Group

MUNAIZI AZMI BIN MUSA D20102044667 EL-B28

10 Disember 2011

Kitar Semula Demi Masa Depan


Oleh: Mohd. Shah A. Hassan

SETIAP HARI, KITA MEMBUANG 15,000 TAN SAMPAH. TETAPI KITA SEMAKIN KESEMPITAN RUANG UNTUK MENAMPUNGNYA.

Kita biasanya tidak memikirkan di manakah sampah sarap kita dibuang atau apakah yang terjadi kepadanya sebaik sahaja ia dipungut. Hakikatnya lori sampah tidak dapat menghapuskannya begitu sahaja.
Kapasiti tapak pelupusan sampah kita semakin terhad. Di masa yang sama kita terpaksa menghabiskan jutaan ringgit untuk mengangkut dan melupuskan sampah. Lebih membimbangkan lagi, kini timbul rungutan tentang pencemaran, resapan bahan kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan isu-isu keselamatan yang berkaitan.
Sudah tiba masanya kita menangani masalah ini sebelum terlewat. Fikir dulu sebelum buang, Jadikan amalan mengitar semula sebagai sebahagian hidup kita.


APAKAH KITAR SEMULA?

Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sampah-sarap.

KENAPA KITAR SEMULA?

Kitar semula untuk memelihara ruang hidup kita

Pada ,masa ini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Sebaik sahaja sebuah tapak pelupusan sampah dipenuhi sampah, tapak baru akan dibuka. Lambat laun, tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita.

Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih

Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan gagak. Melalui kitar semula, kita dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.

Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran

Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan salah satu punca pencemaran dalam iklim tropika. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.

Kitar semula untuk menjimatkan kos

Dalam jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan. Ini seterusnya akan memanfaatkan anda kerana caj untuk pelupusan sampah akan dikurangkan.

Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita

Ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuang sumber yang amat bernilai. Tahukah anda Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan? Kita juga mengimport bahan buangan lain untuk industri pengeluaran yang lain.

Kitar semula untuk menjimatkan tanaga

Tenaga yang dapat dijimatkan untuk mengitar semula satu tin aluminium adalah bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk memasang TV selama 3 jam. Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan sehingga 32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.

Kitar semula untuk menyelamatkan hutan
Untuk mneghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan.kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara yang bersih.

CARA DAN TEMPAT UNTUK KITAR SEMULA 

Syarikat pengutip bahan kitar semula

Anda cuma perlu mengasingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula daripada sampah-sarap dari tempat kediaman atau premis perniagaan atau pejabat anda.

Tong kitar semula

Masukkan bahan kitar semula ke dalam tong kitar semula mengikut kod warna yang bersesuai. Tong-tong ini boleh didapati di sekolah-sekolah dan beberapa bangunan kerajaan. Kemudahan ini disediakan untuk menampung bahan kitar semula dalam jumlah yang kecil hingga sederhana sahaja.

Pusat kutipan

Bahan kitar semula yang lebih banyak dan lebih besar perlu dihantar ke pusat-pusat ini. Ia mungkin terdapat berdekatan kawasan perumahan anda.


CARA MEMULAKAN KEMPEN KITAR SEMULA DI RUMAH DAN DI PEJABAT

Ubah cara anda membuang sampah

Jangan buang segala-galanya ke dalam tong sampah yang sama. Asingkan bahan boleh dikitar semula daripada sampah-sarap yang lain. Ambil sedikit usaha untuk mengasingkan kertas, plastik, tin aluminium, tin keluli dan barangan kaca.

Amalkan sistem yang mudah

Amalkan sistem yang mudah diikuti dan lakukannya berterusan. Sediakan tong atau beg di tempat-tempat yang strategik di rumah atau pejabat. Tong atau beg ini digunakan untuk menyimpan bahan kitar semula.

Pilihan bekas

Anda boleh gunakan sebarang jenis tong atau beg. Contohnya: kotak kadbod, kotak kayu, bakul plastik dan rotan, tong sampah berpenutup, beg plastik, sarung guni, beg sampah plastik, dll.

Libatkan ahli keluarga dan rakan sekerja

Amalan ini menjadi lebih mudah jika setiap orang komited untuk mengitar semula.

Pastikan ia ringkas

Tabiat lama memang sukar dikikis, tetapi boleh diubah secara beransur-ansur. Yang penting jangan beria-ia sangat dan jangan guna paksaan. Amalkan konsep kitar semula selangkah demi selangkah. Tunjukkan kesungguhan anda melalui teladan dan amalkannya sehingga ia menjadi sebahagian hidup anda.

Dipetik dari: LA21 Sandakan Bersih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...